E-Hot Xtra

AJL26: Awan Nano Muncul Juara

oleh Editor | Dikemaskini pada


 

Anugerah penuh berprestij, Anugerah Juara Lagu 26 selamat melabuhkan tirainya malam semalam dengan menyaksikan karya ciptaan M Nasir dan lirik hasil tulisan Budi Hikayat   diangkat menjadi pemenang keseluruhan edisi ke 26. Lagu nyanyian Hafiz ini menewaskan 11 finalis yang lain.

 

 

Kemenangan Awan Nano membolehkan komposer Datuk M.Nasir dan penulis lirik, Budi Hekayat membawa pulang hadiah sebuah trofi dan wang tunai RM35,000. Hafiz turut memenangi gelaran Vokal Terbaik dan menerima sebuah trofi dan wang tunai RM10,000.

 

Naib Juara diraih lagu Beribu Sesalan ciptaan Kevin Chin dan penulis lirik Tinta. Lagu tersebut dipersembahkan oleh 3 Suara, yang dianggotai Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah. Mereka menerima sebuah trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.

 

Sementara, pemenang tempat ketiga berjaya dirai oleh lagu Karma, ciptaan Faizal Tahir dan lirik oleh Audi Mok dan memenangi sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM12,000.

 

Pemenang Persembahan Terbaik diraih oleh Alyah menerusi lagu Kisah Hati. Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

 

 

Ulasan persembahan

Persembahan pembukaan
Jamal Abdillah - Senandung Semalam
Awie - Bujang Senang
Sheila Majid - Warna

 

Persembahan pembukaan dimulakan dengan Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah yang menyampaikan lagu berhantunya, Senandung Semalam. Tampil segak berpakaian lagak Michael Jackson, Jamal membuktikan kelantangan vokal beliau menerusi persembahan penuh penghayatan. Vokal Jamal memang sukar ditandingi. Lemak suara jantan beliau menghidupkan lagi segmen ini.



Selepas itu, Awie muncul dengan Bujang Senang. Bersesuaianlah dengan gelaran Raja Rock Malaysia, persembahan bertenaga Awie mendapat tepukan gemuruh sekalian dewan. Persembahan yang begitu bertenaga bagaikan membawa kita kembali ke era 90 an di mana lagu2 sebegini mendapat hati di kalangan peminat muzik tanah air.

Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid mengubati kerinduan para peminat beliau dengan mengalunkan lagu Warna. Tampil anggun dengan gaun merah,  Sheila berjaya mewarnai kemeriahan AJL 26 dengan persembahannya yang cukup ceria.



Pemilihan Cheryl Samad dan Faizal Ismail selaku pengacara AJL usah dipertikai lagi. Cheryl bijak mengawal majlis manakala lawak selamba Faizal mencuit hati penonton. Ternyata pengalaman membuatkan mereka matang di pentas AJL.

 

Wanita Seluruh Dunia

Lagu dendangan Project Pistol membuka tirai anugerah juara lagu kali ini. Serba ringkas dalam mempersembahkan lagu mereka, Project Pistol berjaya memberikan persembahan bertenaga. Lagu ciptaan Boy Clifford ini berjaya membangkitkan 'mood' juara lagu kali ini. Lebih penting lagi, Wanita Seluruh Dunia berjaya membuatkan penonton wanita di stadium bersorakan!

 

Jaclyn Victor - Sedetik Lebih

Jaclyn Victor yang diberi mandat menyanyikan lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim membuktikan beliau selayaknya berada di pentas AJL kali ini. Dengan diiringi kumpulan koir serba putih, ia bagaikan mengimbau kembali kegemilangan beliau sewaktu menyampaikan lagu Gemilang pada tahun 2005.

 

Kekanda Adinda

Bagaikan sebuah pesta layaknya, persembahan Atilia dan Monoloque menerusi lagu ciptaan sepenuh Monoloque ini amat mengujakan. Gabungan elemen muzik tradisional, bak joget lambak membawa 1001 kelainan kepada persembahan duo ini. Atilia tampil serba ringkas tetapi cukup menarik dalam kebaya ungu. Gaya nyanyian Monoloque yg selamba menjadikan persembahan mereka cukup bersahaja.

 

Gadis Semasa

Tampil serba menawan dengan rekaan beronakan hijau pucuk pisang, Yuna memukau seisi Stadium Putra Bukit Jalil dengan kekuatan vokal beliau. Dengan persembahan yang cukup bersederhana, Yuna membuktikan imej bertudung tidak sesekali menghalang beliau berkarya dengan kreatif.

 

Kalau Berpacaran

Mengambil konsep kabaret sebagai elemen utama persembahan mereka, trio Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafalli dan Altimet meneruskan kemeriahan AJL 26. Persembahan mereka kali ini seakan tiada elemen kejutan. Sungguhpun begitu, Ana Rafali tampil anggun dengan busana tradisional hijau yang cukup menawan.

 

Cinta Muka Buku

Walaupun anak gadis berusia 16 tahun ini pertama kali beraksi di pentas AJL, keyakinan beliau menyanyikan lagu ciptaannya sendiri wajar diberikan pujian. Tetingkap YouTube yang mengiringi persembahan beliau menyerlahkan imej Najwa Latif sebagai seorang bakal pelapis industri hiburan tanah air.

 

Karma

Faizal Tahir bukanlah nama asing di pentas AJL. Sering tampil dgn persembahan yang hebat, Faizal tampil dengan konsep api kali ini. Dramatik. Itulah perkataan yang sesuai menggambarkan keseluruhan persembahan Faizal menerusi lagu Karma ciptaan Audi Mok ini. Faizal berjaya memberi emosi yang diperlukan lagu ini.

Kisah Hati

Penampilan istimewa Along Raja Lawak pada permulaan persembahan Alyah mencuit segenap hati penonton. Tampil dengan konsep 'music box' , Alyah kekal fokus melantunkan vokal emas beliau walaupun terpaksa beraksi sebagai patung di atas pentas. Kelantangan vokal Alyah sedikit sebanyak menambah kekuatan tersendiri pada lagu tersebut. Kemunculan Remy Ishak melengkapkan lagi kemenangan Alyah selaku pemenang Persembahan Terbaik AJL kali ini.

 

Sungai Lui

Kreatif, segar dan unik cukup untuk menggambarkan bagaimana istimewanya persembahan Aizat menerusi lagu Sungai Lui. Persembahan seni pasir halus yang mengiringi persembahannya mencipta saat saat keindahan bersamanya. Aizat bijak memilih konsep persembahan yang ternyata terkini dan sesuai dengan aliran muzik semasa.

 

Penakut

Sememangnya lagu ini dicipta oleh Yuna dan untuk Yuna sendiri. Permainan emosi dan penghayatan yang cukup mendalam membawa penonton menjelajah setiap erti kata lirik lagu ini. Diiiringi lampu-lampu yang menaikkan emosi persembahan ini, Yuna membuai perasaan penonton dengan dinamik vokalnya yang cukup membuai syahdu.

 

Awan Nano

Mengambil inspirasi klip video asalnya, Hafiz tampil serba ringkas dalam kemeja T biru. Cukup baik mengawal vokalnya, tidak hairanlah Hafiz mengungguli kategori Vokal Terbaik buat tahun kedua berturut-turut. Kemunculan Herman Tino di akhir persembahan Hafiz melengkapkan pementasan penuh emosi ini.

 

Beribu Sesalan

Seakan diatur, Beribu Sesalan yang menjadi persembahan terakhir edisi Juara Lagu kali ini menutup malam gemilang AJL dengan gabungan vokal mantap yang tidak dpt dinafikan lagi. Jaclyn Victor, Ning Baizura, dan Shila Amzah berjaya melunaskan amanat Kevin Chin dan Tinta dengan cukup baik sekali. Sekali pandang, kelihatan trio ini membawa kegemilangan era Mariah Carey, Whitney Houston dan Celine Dion ke atas pentas AJL. Cukup menawan dengan busana serba ungu, mereka membuktikan Beribu Sesalan bukanlah suatu penyesalan sebaliknya suatu pengakhiran kegemilangan anugerah penuh berprestij ini!

 


Persembahan Interlude

Black - Hidup Bersederhana (Basikal Tua)

Hazama - Balik Kampung

Azlan Typewriter - Chow Kit Road

Pemilihan Black , Hazama dan Azlan Typewriter untuk melengkapkan segmen interlude kali ini cukup bijak. Memberi penghargaan kepada penghibur nombor 1 Malaysia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, vokal mantap jejaka-jejaka ini sememangnya membawa hadirin menelusuri imbauan kenangan Allahyarham Sudir.  Saat penonton turut sama menyanyikan lagu Chow Kit Road seakan mengulang kembali kenangan konsert Allahyarham Sudir di Jalan Chow Kit, 26 tahun yang lepas. Diakhiri dengan penghayatan dan interpretasi penuh perasaan menerusi Salam Terakhir, seluruh penonton di stadium nyata tersentuh dan kelihatan ada yang mengalirkan air mata.


Keseluruhannya, AJL 26 kali ini membawa tahap penganjuran anugerah ini ke satu peringkat yang lebih baik. Pencahayaan yang begitu cemerlang mengiringi set yang cukup menarik. Seluruh kru produksi AJL 26 seharusnya berbangga atas pencapaian yang telah mereka kecapi berkat kerja keras dan penah lelah mereka.


Awan Nano diangkat menjadi naskhah terhebat edisi kali ini. Sungguhpun ramai yang mungkin menyangka kemenangan akan berpihak kepada Penakut karya Yuna, puitis lirik nukilan Budi Hikayat ternyata mengatasi karya-karya yang lain. Sentuhan Datuk M Nasir ternyata masih menyengat. Dengan melodi penuh melankolik mengiringi keindahan liriknya, Awan Nano berjaya menempatkan diri bersama-sama 25 pemenang lain ke dalam Hall of Fame Juara Lagu! Tahniah GUA ucapkan!

 

Keputusan Penuh AJL 26

Juara Lagu - Awan Nano (Hafiz)

Tempat Ke 2 - Beribu Sesalan ( 3 Suara)

Tempat Ke 3 - Karma ( Faizal Tahir)

Persembahan Terbaik - Alyah (Kisah Hati)

Vokal Terbaik - Hafiz ( Awan Nano)

 

 

 

Sumber dari gua.com.my

 

  • Kongsi

  • facebook
  • twitter

INSTAGR.AM HOT FM


TWITTER HOT FM

FACEBOOK HOT FM

LOG IN


Username



Password





Forgot password?