E-Hot Xtra
oleh Hazwan Syah | Dikemaskini pada 14/06/2012 14:00:00

Malaysia Boleh! Malaysia Boleh! Itulah laungan semangat yang bergema di Stadium Shah Alam pada 12 Jun lalu apabila buat pertama kalinya sejak dari tahun 2005 skuad Harimau Malaya berjaya menumbangkan salah satu dari musuh tradisi, Singapura 2-0.
Skuad kendalian Datuk K.Rajagobal itu telah mempamerkan aksi yang sangat cemerlang apabila sentiasa menyerang seawal minit permainan hingga Singa gagal mempertahankan penguasaannya, lantas dibolosi pada minit ke 18 menerusi tandukan berbisa penyerang Hobin Jang Hobin, Shakir Ali, hasil hantaran kemas dari pemain The Red Warriors, Mat Yo atau Norshahrul Idlan Talaha. Kemudian kapten Harimau dari pasukan Selangor, Safiq Rahim berjaya menyempurnakan sepakan percuma “bertaraf antarabangsa” sekaligus menafikan peluang skuad Singa untuk bangkit.
Kemenangan itu sekaligus membalas balik keputusan seri 2-2 yang penuh kontroversi & “tak puas hati” yang terhasil di Stadium Jalan Besar pada 8 Jun lalu. Perkataan “tak puas hati” itu sebenarnya merujuk kepada beberapa insiden yang melibatkan keputusan pengadil yang berat sebelah. Akhirnya perkara itu membawa kepada gelagat penyerang Azamuddin Akil yang enggan bersalam dengan pengadil perlawanan dari Hong Kong. Kalau mereka di atas padang pun dah tak puas hati, apatah lagi kita yang sekadar menontonnya.
Apa yang membanggakan, corak permainan yang dipamerkan skuad negara yang begitu pantas seolah-olah sedang menyaksikan Liga Eropah. Jujur saya katakan, jika skuad negara mengekalkan corak permainan yang dipersembahkan pada malam “keramat” 12 Jun lalu, di samping memperbaiki beberapa kelemahan kecil, tak mustahil gelaran Piala AFF Suzuki 2012 akan kekal menjadi milik Malaysia.
Lupakan segala tohmahan pengkritik sukan yang adakalanya kritikan mereka berupa pembakar semangat walaupun tak kurang yang nak melemahkan semangat, namun kemenangan ini dianggap satu kemenangan yang sangat manis jika nak dibandingkan dengan kemenangan mengatasi Sri Lanka di Bukit Jalil tempoh hari.
Berikut merupakan rekod pertemuan Harimau Malaya dengan Singapura sejak 2005 berdasarkan laman web FIFA.

Berdasarkan rekod perlawanan, memang wajar Malaysia berbangga dengan kemenangan yang terhasil. Tapi Harimau Malaya…jangan terus leka…perjuangan baru bermula…teruskan perjuanganmu! Kami sentiasa di belakang anda!! #Tanah Tumpahnya Darahku