E-Hot Xtra

Erra bahagia

oleh Miss Kaki Gossip Hot | Dikemaskini pada


MAHLIGAI rumah tangga Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran Zainal Abidin dikatakan berkocak - itu cerita lama. Cerita yang tidak pernah padam dalam diari hidup artis yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu itu sejak mendirikan rumah tangga.

 

 

 

 

 

Hingga kini, Erra akui hidup mereka seperti pasangan lain, bahagia dan tenang walaupun diuji dengan gosip liar yang tidak berkesudahan.

Permata hati mereka, Engku Aleesya Engku Emran, 3, sudah tentu menjadi pengikat kasih. Gelombang yang hadir tidak sesekali membuatkan Erra dan Emran terdampar, sebaliknya mereka tetap teguh mempertahankan kebahagiaan demi si kecil yang semakin membesar.

 

 

Adatlah hidup berumah tangga, ada pasang surut, ada turun naik, ada keceriaan dan sesekali bermasam muka. Tapi, Erra hairan, ada kalanya orang luar lebih mengetahui cerita dalaman mengenai rumah tangganya, sedangkan empunya diri terpinga-pinga mendengarnya. Itulah warna warni kehidupan bintang ternama seperti Erra Fazira.

 

“Dulu, jantung saya sering berdegup kencang apabila terpalit dengan gosip liar dan nakal, tapi kini saya tidak ambil kisah lagi. Alah bisa, tegal biasa. Saya sudah lali melaluinya hingga tidak terasa apa-apa lagi.

 

Diam tak diam, hampir 20 tahun saya membina hidup sebagai anak seni.



Dugaannya sejak dulu bukannya sedikit, tapi sampai satu masa, saya biarkan saja bak angin berlalu.

 

“Diakui kadangkala gosip yang dilalui begitu mengaibkan saya dan keluarga, tapi inilah bayaran yang perlu diterima apabila memilih hidup sebagai public figure. Suka atau tidak, bahagia atau derita, saya kena tempuh.

Hidup saya juga tidak seperti dulu lagi, saya tenang melalui apa juga badai yang melanda.

“Saya tahu orang luar suka bercakap soal rumah tangga saya, macam-macam versi cerita yang saya dengar tapi hakikatnya, suami masih di depan mata saya. Emran masih suami saya dan bapa kepada Aleesya.

Emran juga menjaga Aleesya ketika saya keluar bekerja di luar Kuala Lumpur kerana kami tidak mengharapkan pembantu rumah.

 


“Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana? Biarlah mereka bercakap selagi boleh... Jika menafikan, ada pula cakap saya cuba berselindung atau `cover line’. Nak `cover line’ apa, jika tidak benar! Saya tidak suka membebankan fikiran, soalnya orang luar lebih mengetahui soal isi rumah tangga saya.

 


“Bagi saya, suami dan anak menjadi keutamaan, kerjaya pula sudah jatuh nombor dua selepas saya berkahwin,” katanya yang akan muncul dengan filem Ngorat arahan Prof Madya A Razak Mohaideen bersama Aaron Aziz pada 5 Julai ini.

 

Di sebalik gosip yang bagai tiada penghujungnya itu, Erra melalui kehidupan seperti biasa.

 

 

 

 

Sempena sambutan Hari Ibu, bekas Miss Malaysia/World 1992 itu tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai anak. Tahun lalu, Erra menghadiahkan ibunya, Azizah Zaik, sebuah kereta Honda CRV bagi menghargai kasih sayang seorang ibu.

 

“Sudah menjadi kebiasaan sejak dulu, saya meraikan Hari Ibu bersama ibu tersayang, sama ada membawanya keluar makan malam atau menghadiahkan sesuatu yang istimewa. Sesibuk mana sekalipun, pasti ada kirim SMS tanda saya mengingatinya.

 


“Sebenarnya, sama ada dengan ibu atau Aleesya, perkataan `I Love U’ tidak pernah lekang dari mulut saya.

 


Bagi saya, Hari Ibu tidak hanya diraikan pada 13 Mei setiap tahun, tapi setiap hari adalah hari istimewa untuk ibu. Saya mahu menggembirakan hati ibu saya.

 


“Alhamdullilah, selepas sekian lama menggumpul duit akhirnya saya dapat menghadiahkan ibu saya kereta idamannya, tahun lalu. Selalunya, jika ibu meminta hadiah yang mahal, saya tidak terus memberikannya, kena tunggu saya kumpul duit dulu (berseloroh). Saya bekerja kuat lebih setahun untuk memenuhi hasrat ibu saya, tapi puas, bukan rasa terbeban.

 

 

“Melihat senyuman dan kegembiraan ibu, hilang rasa penat saya bekerja. Tahun ini, saya belum merancang apa-apa lagi, tapi ibu minta dibawa bercuti. Buat masa ini, jadual saya sentiasa terisi, mungkin selepas habis penggambaran drama bersiri Mencari Juita dan filem KL Meroyan,” katanya yang melakonkan watak bekas wanita pertama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada pementasan teater Tun Siti Hasmah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 8 September ini.

 

 

  • Kongsi

  • facebook
  • twitter

INSTAGR.AM HOT FM


TWITTER HOT FM

FACEBOOK HOT FM

LOG IN


Username



Password





Forgot password?