E-Hot Xtra

Hot FM Ke Pantai Timur

oleh Editor | Dikemaskini pada


APABILA lapan penyampai untuk Hot FM Terengganu dan Kelantan mula membuka mulut memperkenalkan diri masing-masing, mereka kelihatan yakin, tegas dan berkarisma.
Hot FM Kelantan dan Terengganu akan mula ke udara pada 2 Januari.

 

 

 

 


Mereka yang bertuah sebagai perintis untuk Hot FM Kelantan ialah Shazwani Mohamad Shakeri (Shazz), 25, Syed Mohd Farid Mohd Nor, 23, Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), 22, dan Wan Zuraini Wan Hassan (Renny), 22. Eksekutif Muzik dan Penyampai Info Hot FM Cakno pula adalah Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul), 22.

 

 


Barisan penyampai Hot FM Terengganu, Mohd Rafly Rahmat, 25, Mohd Hermansani Aminudin (Bell), 27, Nurul Ain Omar, 21, dan Muhammad Azri Ismail, 22. Manakala, Ahmad Zulhimie Zainal (Zul), 24, selaku Muzik Eksekutif dan Penyampai Info Hot FM Cakne.

 

 


Setiap hari dari jam 6 hingga 11 pagi, seperti biasa akan ke udara siaran seluruh negara Hot FM AM Krew oleh Fara Fauzana, Faizal Ismail, Muhammad Azmir Selamat (AG) dan Syed Mohd Asri (Usop).

 

 


Bermula dari jam 11 pagi sehingga jam 12 tengah hari, pendengar Hot FM di kedua-dua negeri itu akan mula mendengar celoteh penyampai untuk daerah masing-masing.

 

 


Bermula jam 11 pagi hingga 3 petang, akan ke udara Hot FM Kelate yang dikendalikan oleh Fazz, diikuti Hot FM Kelate Gu Kito oleh Fizize dan Farid. Kemudian dari jam 7 hingga 8 malam ke udara pula Hot FM Refleksi dan Hot FM Kelate oleh Renny yang akan tamat siaran pada jam 12 tengah malam.

 

 

 

 

 


Manakala untuk Hot FM Terengganu pula dari jam 11 pagi hingga 3 petang akan kedengaran Hot FM Ganu oleh Ain, diteruskan lagi selepas itu Hot FM Ganu Bereh Boh oleh Rafli dan Bell. Pada jam 7 hingga 8 malam ke udara pula Hot FM Refleksi dan Hot FM Ganu oleh Azri.

 

 


Mereka semua akan bersiaran terus dari kedua-dua negeri itu. Demi mengejar impian, mereka terpaksa meninggalkan kota metropolitan untuk memulakan khidmat di tempat asal masing-masing meskipun ada di antara keluarga mereka sudah lama menetap di Kuala Lumpur (KL) dan mereka sendiri dilahirkan di sini.


Ini kerana antara syarat utama untuk menyahut cabaran sebagai penyampai Hot FM Kelantan dan Terengganu, mereka mesti berasal dari sana dan boleh bercakap loghat negeri itu.

 

 


Rafly yang sebelum ini bekerja di Pusat Panggilan Institut Jantung Negara, KL berkata, dia memang suka bercakap dan apabila Hot FM mengadakan uji bakat untuk mencari penyampai untuk siaran itu di Terengganu, dia terus mengambil peluang itu.

 

 


“Saya memang berminat menjadi penyampai radio tetapi belum pernah mencuba di mana-mana saluran radio hinggalah saya mendengar Hot FM akan beroperasi di Pantai Timur.


“Setiap pagi saya mendengar Hot FM dan sering terbayang andai kata satu hari nanti saya dapat menjadi penyampai seperti mereka.


“Saya kini banyak membaca kerana apabila ke udara di radio, saya tidak lagi boleh bercakap kosong. Maklumat yang akan disampaikan pula mestilah tepat. Jika salah, ia pasti memalukan diri sendiri.


“Saya juga yakin untuk menjadi ahli keluarga stesen radio ini kerana ia antara saluran kegemaran ramai dan saya juga tahu cabaran yang menanti sangat besar.


“Semua itu saya akan lalui sedikit demi sedikit hinggalah saya mampu menjadi sehebat penyampai Hot FM yang lain.

 

 


“Saya juga tidak berpelajaran tinggi dan berasal dari kampung, jadi saya perlu bekerja lebih keras daripada orang lain. Walaupun suara saya hanya kedengaran di Terengganu, namun di situlah titik penting untuk membuktikan kemampuan saya sebagai penyampai radio.

 

 


“Oleh kerana mahu mengejar cita-cita sebagai penyampai yang disegani satu hari nanti, saya sanggup meninggalkan KL untuk berkhidmat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu,” kata Rafly.

 

 


Wan Zuraini yang akan berkhidmat di Hot FM Kelantan pula berkata, dia bernasib baik terpilih. Memiliki ijazah dalam bidang penyiaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dia pernah menjalani latihan amali dengan Hot FM.

 

 


“Emak dan ayah saya berasal dari Kelantan dan walaupun kami sekeluarga menetap di KL, pertuturan di rumah masih menggunakan dialek Kelantan. Oleh itu, tiada masalah untuk saya bercakap dalam loghat negeri itu nanti.

 

 


“Di Kelantan nanti, saya akan tinggal bersama abang yang menetap di sana. Emak dan ayah pun tidak bimbang saya berjauhan daripada mereka kerana ada yang menjaga saya.

 

 


“Inilah kerja pertama saya selepas habis belajar dan insya-Allah saya yakin dapat memberikan yang terbaik,” katanya.

 

 

  • Kongsi

  • facebook
  • twitter

INSTAGR.AM HOT FM


TWITTER HOT FM

FACEBOOK HOT FM

LOG IN


Username



Password





Forgot password?