Ke Laman Utama
Hot FM Bisik-bisik Selebriti bersama Media Hiburan

Dihangatkan oleh .
Dikemaskini pada 19 Jun 2008
 
Mawi, Mila, Dafi & Stacy Saling Teruja...

Menggabungkan empat bintang realiti tv popular Akademi Fantasia (AF) bukanlah satu perkara mudah. Diberi peluang mengadakan sesi fotografi bersama penyanyi yang mendapat gelaran raja SMS iaitu Mawi, juara AF5 Mila, Dafi dan juga anak kelahiran bumi Di Bawah Bayu yang baru sahaja dimahkotakan sebagai juara AF6, Stacy cukup gamat.

Mana tidaknya masing-masing memiliki karektor yang tersendiri dan mempunyai pelbagai idea apabila berhadapan dengan kamera. Keempat-empat penyanyi ini sebenarnya disatukan selepas sesi sidang media Konsert Cornetto Love Sparks - Mulanya Di Sini yang akan menggegarkan ibu negara pada
28 Jun 2008 ini jam 7.30 malam bertempat di Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Selain empat penyanyi popular ini, konsert tersebut akan turut dimeriahkan oleh penyanyi remaja Indonesia, Gita Gutawa dan juga kumpulan Estranged. Semasa sesi fotografi, keempat-empat mereka bukan sekadar bercerita tentang konsert yang bakal dijayakan, malah mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' khusus buat ayahanda tercinta dan juga buat semua yang bergelar ayah di luar sana bersempena sambutan Hari Bapa yang diraikan baru-baru ini.

"Saya Fobia Dengan Air" - Faizal Tahir

Beberapa mingu lalu kami digemparkan dengan penyebaran e-mel yang menunjukkan gambar Faizal Tahir lemas di dalam kolam renang. Seluruh peminat 'Superman Malaysia' ini seakan-akan tidak percaya hakikat sebenar penyanyi pujaan mereka boleh lemas. Sedangkan identiti dirinya adalah umpama superhero tempatan yang boleh melakukan pelbagai aksi.

Penulis berkesempatan membongkar segalanya daripada Faizal Tahir yang ditemui di salah sebuah majlis hiburan baru-baru ini. Apa sebenarnya yang terjadi sehinggakan Faizal boleh lemas? "Semuanya berlaku semasa saya membuat pembikinan klip video lagu terbaru saya. Sewaktu 'meeting' dan perbincangan pun saya sudah agak sedikit tidak selesa kerana banyak penggambaran berlaku di dalam air.

Mula-mula memang saya terkejut dan saya tidak tahu banyak penggambaran dilakukan dalam air sebenarnya. Lagipun saya ni cukup fobia dengan air tetapi saya tidak beritahu produksi sebab saya ingin mencabar diri dan fikir saya boleh lakukan." Apa yang terjadi selepas itu? "Memang kena masuk dalam air.

Waktu itu kami lakukan penggambaran 21 jam tanpa henti dan bila tiba 'scene' di dalam air itu sudah lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. Bayangkan waktu itu memang sejuk dan badan pun sudah penat. Tapi saya buat okay sahaja sebab saya suka cabaran. Tapi bila mula masuk dalam air memang sudah terasa sedikit cuak. Saya buat macam biasa sahaja dan produksi pun sedar perubahan saya.


Ahmad Dhani Minum Air Kaki Ibu...

Pelbagai cara boleh dizahirkan untuk membalas jasa orang tua yang telah membesarkan anak-anak. Bagi salah seorang anggota Dewa 19, Ahmad Dhani meminum air bekas cucian kaki ibunya, Joice menjadi sebahagian daripada upacara yang dijalaninya bersempena sambutan ulangtahunnya yang ke-36. Sambutan itu diraikan bersama 1000 Bala Dewa di Studio Dewa, Jl. Pinang Mas III, Pondok Indah, Jakarta Selatan.

Selain meminumnya, Dhani bersama adiknya turut mengusapkan air itu ke muka. Selesai mengusapkan air itu ke muka, Dhani juga memercikkan air cucian kaki tersebut ke 1000 Bala Dewa yang memenuhi jalan-jalan sekitar Studio Dewa yang tidak ketinggalan berebut mendapatkan air cucian kaki ibu Dhani.

Ulang tahun Dhani yang jatuh pada 26 Mei 2008 itu disambut serentak bersama adiknya, Dian yang ke-32 dan anak kedua keduanya, El yang ke-9. “Hari ini kita meraikan tiga insan yang dilahirkan pada tarikh yang berdekatan iaitu saya, adik saya dan anak kedua saya, El. Konsepnya sederhana dan tidak disambut di tempat mewah,” ujar Dhani dihadapan 1000 Bala Dewa.

Bagi menambah kemeriahan sambutan yang diadakan, Dhani turut menyediakan pentas kecil di hadapan studionya yang diserikan dengan persembahan Dewi Dewi untuk menghiburkan 1000 Bala Dewa.

 
 
Kembali ke atas
 
Hot FM Bisik-bisik Selebriti dibawakan oleh Media Hiburan .