A - D

Dayang Nurfaizah

 

 

Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau lebih dikenali sebagai Dayang Nurfaizah adalah seorang penyanyi wanita antara yang paling berpengaruh pada dekad 2000an di Malaysia. Memulakan karier pada usia 18 tahun, Dayang sudahpun mencapai status terbaik di dalam arena seni suara dengan menghasilkan 7 buah album studio dan meraih pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Nama beliau sebaris dengan penyanyi wanita seangkatan seperti Siti Nurhaliza, Misha Omar, Liza Hanim & Jaclyn Victor.

 

Biografi Awal

 

Dayang Nurfaizah telah dilahirkan di Kuching, Sarawak. Bakat besar yang dimiliki penyanyi kelahiran Sarawak ini sudah pun dikesan sejak kecil lagi dimana beliau telah berjinak-jinak dalam bidang nyanyian sejak dari sekolah rendah. Di zaman persekolahannya, Dayang sememangnya terkenal sebagai penyanyi undangan pada setiap majlis sekolah diadakan sehingga namanya begitu popular. Dengan kebolehan luar biasa menyanyikan lagu-lagu asli Melayu serta lagu bergenre R&B, Dayang mula mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian di negerinya sendiri antaranya memenangi Bintang Asli Remaja 1996 dan ke peringkat akhir dalam pertandingan Bintang Remaja Sarawak 1996 dan akhirnya muncul juara dalam edisi 1997. Bertitik tolak daripada itu beliau memberanikan diri untuk keluar dari Kuching dan menyertai pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia iaitu Golden Teen Search 1997 di Kuala Lumpur. Pertandingan bakat nyanyian lagu-lagu Bahasa Inggeris ini ternyata mengakui kehebatan dayang hingga meraih gelaran juara ketika beliau baru berusia 17 tahun.

 

Penampilan debut ke puncak populariti

 

Dengan kemenangan di Golden Teen Search nama beliau mula meniti di bibir peminat dan berjaya menambat hati maestro muzik terkenal Adnan Abu Hassan untuk menerbitkan album studio sulung beliau di bawah naungan Delima Records yang ketika itu dikoordinasikan oleh Adnan sendiri. Maka pada 7 Mei 1999 lahirlah album sulung Dayang yang berjudul Dayang Nurfaizah. Album ini berkonsepkan pop dengan majoriti lagu dicipta oleh Adnan. Adnan mengenalpasti kekuatan Dayang menerusi pop Melayu dan trademarknya dalam muzik rhythm & blues. Lagu Hakikat Cinta merupakan lagu pertama yang memperkenalkan Dayang kepada pendengar Melayu. Lagu ini berjaya memanjat anak tangga carta muzik biarpun wajah dan namanya masih tidak begitu dikenali dengan meluas. Single kedua yang rancak berjudul Rindu bagaimanapun tidak berjaya menyambung hayat populariti Dayang apabila lagu itu jarang diputar dan ditambah pula dengan masalah pengedaran album oleh Delima Records. Syarikat itu tidak berjaya mencetak dan mengedar album terbitannya hingga terpaksa ditutup biarpun baru setahun jagung. Ekoran daripada konflik ini kerjaya seni Dayang mula tidak menampakkan sinarnya.

 

Atas kepercayaan dan keyakinan Adnan bahawa Dayang mampu pergi dengan lebih jauh, beliau akhirnya ditampilkan dalam projek khas sebuah album berjudul Jelita Hebat yang diterbitkan pada September 1999. Menerusi album ini Dayang bekerjasama dengan penyanyi tersohor Ziana Zain untuk berduet dalam lagu ciptaan komposer lagu-lagu R&B iaitu Azalea yang berjudul Pusaka Rimba. Gandingan hebat di antara Dayang dan penyanyi hebat ini membuahkan hasil apabila lagu ini dicalonkan di dalam kategori Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2000. Lebih menarik lagu, nama Dayang disenaraikan sebagai finalis untuk kategori Artis Baru Terbaik. Ketika berlangsungnya malam penganugerahan, Dayang dipanggil untuk membuat persembahan solo menerusi sebuah lagi lagu ciptaan Azalea yang pernah dimuatkan dalam album sulungnya berjudul Kembalilah Sayang. Persembahan inilah yang menjadi titik mula kerjaya seni Dayang. Penyanyi wanita Indonesia Kris Dayanti mengakui terpaku menonton nyanyian live Dayang yang disifatkan sebagai menakjubkan dan penuh jiwa. Maka lagu tersebut mula berkumandang di radio-radio sebagai airplay release ekoran ketiadaan album sulung beliau di pasaran. Pada malam tersebut juga bermula polemik apabila Dayang tewas dalam kategori Artis Baru Terbaik di tangan penyanyi irama latin Shawn Baharin.

 

Kekalahan tersebut tidak menjadi kudis sebaliknya nama Dayang mula disebut-sebut hingga syarikat rakaman Broadway Entertainment dibawah kelolaaan penerbit Boon Tan menyunting Dayang daripada kontrak yang terbengkalai dengan Delima Records. Broadway bernaung edarannya di bawah EMI Music ketika itu namun menerbitkan 100% album solo kedua Dayang. Album keduanya yang pada awalnya dijudulkan sebagai Ikatan Kita sempena single pengenalan pada hujung tahun 2000 itu mula dipasarkan pada 8 Februari 2001 dengan judul rasmi Seandainya Masih Ada Cinta (SMAC). Nama Dayang mula meledak dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta yang menjuarai hampir kesemua carta muzik nasional dan regional.

 

Tambah manis lagi fenomena lagu ciptaan Ajai & Syed EnV ini mula sampai ke Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Lagu ini akhirnya menjadi lagu signature beliau dan meraih banyak anugerah- anugerah hebat seperti di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan memenangi anugerah Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2002 serta meraih kedudukan keempat dalam senarai 100 Terhangat di Era 2001.

 

Susulan daripada kejayaan SMAC, album tersebut berjaya terjual sebanyak 65,000 unit serta mengeluarkan keseluruhan 6 buah single dan paling diingati adalah lagu pop Bahagia juga ciptaan Ajai & Syed EnV yang mara ke peringkat akhir AJL ke 16 serta lagu R&B seperti Sekali Lagi dan Sedingin Mana Cintamu yang juga mendominasi carta-carta muzik. Dalam masa setahun Dayang meraih kedudukan selesa sebagai penyanyi wanita popular di Malaysia hinggakan pernah dikatakan hanya satu langkah di belakang Siti Nurhaliza apabila Siti sendiri mengakui Dayang adalah pesaing terdekatnya ketika itu. Persaingan antara Siti dan Dayang dapat dilihat dari pertandingan-pertandingan di majlis-majlis anugerah yang mana silih berganti diraih oleh kedua-dua penyanyi tersebut. Dayang tewas kepada Siti dalam merebut anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita (AIM) dan Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001.

 

Ekoran populariti yang begitu hebat ketika menjengah tahun 2002, Broadway mengambil keputusan untuk menerbitkan semula album sulung Dayang selepas syarikat itu mendapat kesuluruhan hakcipta penyiaran lagu-lagu dalam album tersebut. Maka lahirlah album bungkusan semula berjduul Disini Bermula pada 3 Februari 2002 dengan single Di Sini Bermula. Ternyata album itu berjaya terjual 10,000 unit dalam tempoh sebulan pertama. Dayang dan Boon Tan mula bersiap untuk menerbitkan album ketiga beliau dengan pengumpulan material namun album itu mengambil tempoh lama untuk diterbitkan memaksa Broadway mengeluarkan sebuah single promosi. Maka terlahirlah lagu rakaman semula Rindu Bayangan yang dinyanyikan secara duet bersama abang kandung Dayang sendiri iaitu Dino. Lagu ini telah popular dan sering diputarkan di radio-radio hingga dicalonkan di Anugerah Era 2002 untuk kategori Duo/Kumpulan Pilihan.

 

Dayang Sayang Kamu penerus kegemilangan

 

Biarpun Dayang tidak lagi bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman dan terikat dengan kes mahkamah, dia tetap meneruskan niatnya untuk merakamkan album solo keempat. Dayang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk proses rakaman album terbaru itu. Kau Pergi Jua dan Biar Akhirnya Di Sini ciptaan Afdlin Shauki merupakan dua buah lagu pertama yang dirakamkan oleh Dayang. Menerusi lagu ciptaan Afdlin tersebut, Dayang menjemput pemain biola tersohor Indonesia iaitu Henry Lamiri untuk mengiringinya. Apabila album tersebut sudah siap barulah Dayang akan mencari dan memilih syarikat rakaman yang sesuai untuk menerbit serta mengedarkan album keempat itu nanti. 

 

Dalam album terbarunya itu, Dayang bukan sahaja mengekalkan konsep R&B tetapi dia turut terbabit secara langsung dalam pembikinannya memandangkan sebelum ini, Dayang hanya menyanyikan sahaja lagu yang diberikan. Namun selepas setahun disiapkan dengan bajet yang tinggi album tersebut tidak dapat dipasarkan ekoran kes saman yang belum selesai. Akhirnya Dayang menjual sendiri album berjudul Dayang Sayang Kamu tersebut secara underground di mana-mana persembahan tertutupnya. Lagu berbahasa Inggeris berjudul Need A Break / Seketika mula meraih sokongan pendengar bandar sementara lagu Erti Hidup yang dijadikan modul dalam Program Latihan Khidmat Negara mula meniti bibir peminat. Dayang sendiri mencetak dan mengedarkan CD kepada peminat-peminat hingga berjaya terjual 5000 unit pada sebulan pertama jualan pada Ogos 2004. Dayang juga mempromosikan lagu Dayang Sayang Kamu dengan persembahan perdana di Anugerah Era 2004 dengan berduet bersama penyanyi Adam. Akhirnya album tersebut diedarkan secara mainstream pada 30 November 2004 di bawah label DNAD Entertainment, syarikat rakaman hakmilik penuh Dayang sendiri.

 

Album Dayang Sayang Kamu(DSK) sebenarnya adalah album penyambung hayat buat Dayang biarpun diancam dengan penerbitan album Buat Kamu oleh Broadway yang merupakan album bungkusan semula Hembusan Asmara sebulan sebelum edaran DSK. Broadway juga menerbitkan album kompilasi The Best of Anuar Zain & Dayang Nurfaizah sebelum itu yang menampilkan single Melerai Prasangka bergema di corong-corong radio. Dalam pada itu lagu Erti Hidup berjaya mara ke AJL 19 dan akhirnya memenangi kategori Etnik Kreatif dan menaikkan semula nama Dayang dan memperkenalkan bakat Afdlin sebagai komposer. Pada 28 Julai 2005, industri seni digemparkan apabila Dayang mengambil keputusan untuk menggugurkan saman terhadap Broadway dan 2 buah lagi syarikat setelah kes itu berlarutan selama 3 tahun. Dayang enggan mengulas mengenai perkara itu namun menyatakan ia satu pengalaman yang manis buatnya kerana daripada pengalaman itu dia terpaksa melalui pelbagai pengalaman yang mendewasakan lagi perjalanannya sebagai anak seni. Banyak benda yang Dayang belajar semasa menghasilkan album berjudul DSK antaranya menguruskan bajet serta terpaksa jual album itu sendiri, paksa peminat beli album tersebut. Pengalaman itu menurut Dayang tak dapat belajar di mana-mana. Kini Dayang bernaung di bawah syarikat rakaman New Southern Records (NSR). Ketua Bahagian Melayu NSR, Iman Wan berkata NSR telah mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk membeli semula semua kontrak Dayang dengan syarikat-syarikat yang disamannya. Jumlah pembelian kontrak itu bagaimanapun enggan dinyatakannya.

 

Pada 16 September 2005 secara rasminya New Southern Records (NSR) menjadi pengedar rasmi album DSK dan seiring itu album bungkusan semula DSK yang mana memuatkan lagu Kasih Maafkan mendapat perhatian peminat. Bersama Iman Wan yang mengelola NSR ketika itu, Dayang bekerjasama menerbitkan album khas lagu-lagu klasik berjudul Kasih pada 25 Oktober 2005 selepas kejayaan konsert Putera Puteri di IB dan populariti lagu Kau Pergi Jua dan single pengenalan lagu dodoi berjudul Suriram. Kehebatan Dayang dalam mengalunkan lagu-lagu klasik menyaksikan album tersebut dicalonkan di AIM 2006 untuk kategori Album Pop Terbaik dan album ini juga memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik. Lagu Kasih berjaya meletakkan nama Dayang ke kedudukan yang lebih selesa apabila lagu keroncong yang dijazzkan itu meraih populariti berganda di radio dan televisyen.

 

Dayang mula melihat persaingan berlaku di kalangan penyanyi wanita di Malaysia di saat Siti Nurhaliza mendominasi sebehagian besar pasaran, nama-nama seperti Misha Omar dan Jaclyn Victor sudahpun mengukuhkan nama mereka sebaris dengan Dayang. Dayang juga berdepan dengan lambakan peserta TV realiti yang memasuki pasaran dan menjadi demam baru industri. Menyedari peluang meneroka pasaran baru makin terhad akhirnya Dayang memberanikan diri menyertai program realiti anjuran stesen 8TV iaitu One In A Million] yang menyaksikan penyanyi amatur dan profesional merebut hadiah bernilai RM1 juta berserta kontrak rakaman Monkey Bone. Penyertaan Dayang menimbulkan polemik tersendiri di kalangan pemerhati seni kerana kedudukan Dayang sebagai penyanyi yang sudah kukuh sedangkan beberapa peserta lain adalah penyanyi profesional yang gagal di pasaran. Di samping itu keberanian Dayang menyertai program yang 100% bersandarkan undian peminat juga menimbulkan konflik tersendiri. Namun Dayang tekad dengan keputusannya dan akhirnya berjaya mara ke peringkat Top 4 sebelum tersingkir seminggu sebelum malam final. Biarpun tewas kepada peserta lain yang kini popular seperti Aliff Sattar dan Faizal Tahir, Dayang positif kerana setidak-tidaknya beliau telah berjaya meneroka pasaran baru. Perkara pertama yang dilakukan Dayang apabila tersingkir daripada saingan OIAM ialah mengukuhkan pasaran Singapuranya dengan berkolaborasi dengan penyanyi negara tersebut seperti Imran Ajmain & kumpulan Bhumiband.

 

Pada tahun 2007 bersama Iman Wan, Dayang menerbitkan album solo keenamnya yang berjudul 20 07 pada 21 Julai 2007. Album pop ini menampilkan lagu-lagu hits seperti Ingin Ku Miliki , Hilang dan Tiga yang mana kesemuanya menyaksikan kolaborasi bersama komposer Audi Mok. Ketika album ini dipasarkan Dayang mengambil keputusan untuk menyertai sebuah program TV pencarian Ikon Malaysia yang mana pemenangnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan Ikon Asean. Sekali lagi Dayang dikritik kerana berani memperjudikan kedudukannya sebagai penyanyi profesional apabila terpaksa bersaing dengan angkatan penyanyi lain seperti Jaclyn Victor dan Mawi. Akhirnya tuah sekali lagi tidak memihak kepada Dayang apabila sekadar meraih hadiah Naib Johan Ikon Malaysia 2007 apabila tewas kepada Jaclyn. Dalam pada itu Dayang boleh tersenyum bangga kerana album 20 07 telah dicalonkan dalam 4 kategori di AIM 2008 menerusi kategori vokal, album pop, susunan muzik dan juga kulit album. Biarpun tewas namun setidak-tidaknya album tersebut masih menjadi bukti keutuhan Dayang dalam industri.

 

Meraikan sedekad pembabitan beliau dalam Industri, Dayang mengadakan mini konsert yang dirakamkan di dalam sebuah album yang diberi judul Live!. Ia memuatkan rakaman persembahan live beliau di Planet Hollywood pada tahun 2008. Semasa ia dipasarkan pada 18 April 2009, Dayang terlibat dalam projek Global One Music yang menyaksikan nama Dayang tersenarai sebagai wakil Malaysia dalam sebuah album yang menggabungkan hampir 36 orang penyanyi dari seluruh dunia. Dayang berkolaborasi bersama rapper Singapura, Daly merakamkan lagu berjudul Lately / Tanpamu dalam dua versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dayang meraih kejayaan manis apabila album Live berjaya meraih anugerah Album Pop Terbaik menewaskan dua buah album Siti Nurhaliza. Untuk rekod, sebelum itu Dayang sudah 4 kali dicalonkan dalam kategori tersebut.

 

Pada tahun 2011 Dayang meluncurkan album studio ketujuhnya berjudul Sayang & Cahaya pada 2 Mei. Ia merupakan album kedua yang diterbitkan sendiri oleh syarikat DNAD sendiri manakala ia tidak lagi dipasarkan oleh NSR sebaliknya Dayang menyerahkan hak edaran kepada Universal Music. Sebelum itu Dayang berkolaborasi bersama Alibi Music menghasilkan dua buah single pengenalan iaitu Sayang dan Ku Temu Cahaya. Lagu Sayang menyaksikan Dayang berduet bersama penyanyi Indonesia Marcell. Lagu tersebut berjaya mara ke pencalonan Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Duo/Kolaborasi Terbaik. Disamping single terbaru berjudul Saat Itu, Dayang juga berkolaborasi bersama penyanyi veteran Ramli Sarip dalam lagu Musafir Rindu di dalam album penyanyi tersebut juga bersama penyanyi Indonesia Harvey Malaiholo dalam lagu rakaman semula Gerimis Mengundang untuk projek filem usahasama Malaysia-Indonesia.

 

Lebih sedekad berada dalam bidang seni suara nama Dayang Nurfaizah menjadi sebuah jenama yang kukuh dengan jualan album keseluruhan mencecah 200,000 unit sekaligus menjadikan beliau sebagai salah seorang artis wanita terlaris dekad 2000an. Pelbagai kejayaan sudahpun diraih oleh penyanyi yang digelar sebagai Diva R&B Alaf Baru ini. Ternyata bukan mudah untuk Dayang mencapai kedudukan selesa kini, di saat rakan penyanyi seangkatan mula beransur hilang nama beliau masih kukuh dan diminati ramai. Dayang mempunyai pengikut tersendiri dan tidak mustahil suara Dayang akan terus berkumandang selama mungkin.

 

Album

 

 

Album Studio

 

 

  • Dayang Nurfaizah (1999)

  • Seandainya Masih Ada Cinta (2001)

  • Hembusan Asmara (2002)

  • Dayang Sayang Kamu (2004)

  • Kasih (2005)

  • 20 07 (2007)

  • Sayang & Cahaya (2011) 


 

 

Album Konsert

 

  • Live! (2009)

 

Album Kompilasi

 

  • The Best of Dayang Nurfaizah (2003)
  • The Best of Anuar Zain & Dayang Nurfaizah (2004)

Pencapaian Dayang Nurfaizah


  • Finalis Bintang Remaja Asli 1996 (Kunching, Sarawak)
  • Finalis Golden Teen Search 1996 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang Remaja Asli 1997 (Kuching, Sarawak)
  • Juara Golden Teen Search 1997 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang RTM 1998 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang Penghibur HMI 2000 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Finalis 'Top 5' Artis Baru Terbaik (Anugerah Industri Muzik 2000)
  • Finalis 'Top 5' Lagu Terbaik (Anugerah Indusri Muzik 2000)
  • Finalis 'Top 5' Vokal Terbaik Di dalam Album (Wanita) (Anugerah Industri Muzik 2002)
  • Finalis 'Top 5' Album Pop Terbaik (Anugerah Industri Muzik 2002)
  • Juara Lagu Balada (Seandainya Masih Ada Cinta- Anugerah Juara Lagu 2001)
  • Juara Lagu Irama & Etnik Kreatif Malaysia (Erti Hidup- Anugerah Juara Lagu (Anugerah Juara Lagu 2004)
  • Anugerah Lagu Global Pilihan (Erti Hidup- Anugerah Era 2005)
  • Album Pop Terbaik - Anugerah Industri Muzik ke 17 (2010) - Album Dayang Live

 

 

  • Kongsi

  • facebook
  • twitter

INSTAGR.AM HOT FM


TWITTER HOT FM


FACEBOOK HOT FM

LOG IN


Username



Password





Forgot password?