|
|
| |
 |
| |
 |
 |
| |
| Dapatkan ulasan album terkini! |
|
| Eksklusif di laman web Hot FM. |
|
| Dibawakan oleh KOSMO! |
|
|
|
 |
| |
Artis: Sheila Abdul
Album: Sheila Abdul
Lagu-lagu: Mungkinkah, Selautan Asmara, Cinta Putih Atau Kelabu, Nafas Terhenti dan banyak lagi |
|
|
Namanya tiba-tiba jadi hit menerusi single pertama, Mungkinkah karya penuh Faris. Pada saya ia satu percaturan yang bijak apabila memilih lagu paling rancak dalam album ini untuk memancing pendengar sekali gus mencari siapa pemilik lagu ini.
Namun mendengar keseluruhan album dengan judul Sheila Abdul ini, harus saya akuinya, ia album yang sarat lagu melankolik.
Dan melihat kepada nama Adnan Abu Hassan yang mendominasi pembikinan lagu dalam album ini, saya kira sesiapa pun sudah dapat mengenal corak pop dan balada yang diserapkan kepada gadis ini.
Jujur, ia sebenarnya sebuah album yang biasa dan sesekali terdengar cukup berbaur Misha Omar dalam kebanyakan lagu-lagunya.
Namun ini tidak bermakna album ini tidak bagus. Tiada yang pincang biar melodinya mendayu-dayu - bukan lagi tuntunan pasaran sekarang yang gemar lagu berentak rancak.
Sebaliknya ia boleh didengar sementelah Sheila sendiri mempunyai vokal yang baik. Sebutannya jelas dan penyampaiannya lantang.
Lagu-lagu seperti Cinta Putih Atau Kelabu juga Nafas Terhenti mempamerkan kredibiliti sebenar gadis ini kerana iringan muzik yang kemas mendokong vokalnya menjadikan ia sebuah lagu yang enak didengar. |
| |
Artis: Coco
Album: Mengintai Langit
Lagu-lagu: Hilang Dalam Buram, Azimat Cintamu,
Pilihlah Aku, Berteman Bintang dan banyak lagi. |
|
|
Untuk sebuah grup baru seperti Coco, kelahiran album kedua mereka, Mengintai Langit begitu tepat mengikut paksi yang telah ditetapkan - pop dan rock yang dialunkan cantik dalam sebuah melodi.
Mereka berjaya menonjolkan identiti dan kredibiliti sebagai sebuah grup yang harus diberi perhatian kerana kerja tangan yang dihasilkan mereka sendiri bersama orang-orang kuat di belakang tabir.
Dari segi pembikinan dan permainan setiap ahli, boleh terdengar kesungguhan dan kebolehan mereka mengaplikasi bunyian drum, gitar, dan bass dengan baik termasuk nyanyian vokalisnya yang membuatkan Coco lengkap sebagai sebuah kumpulan gitar rancak.
Namun saya fikir, persembahan yang cuba dicipta mereka tersangkut pada satu tahap yang membuatkan mereka terperangkap antara nilai komersial dan kehebatan membikin muzik.
Ini kerana kadang-kadang muzik yang hebat tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi lantas ia terpinggir. Sementara muzik yang biasa sahaja selalu mencuri perhatian tanpa sengaja. Dan itu formula yang patut ada dalam album ini.
10 karya yang dimuatkan di sini tidak nafikan sebagai menarik. Hanya ia belum cukup kuat untuk memikat hati khalayak yang belum mengenal mereka.
Seharusnya dengan segala kepakaran yang ada, muzik yang dihasilkan harus pantas berjalan seiring dengan cita rasa masa kini bukan berada dalam acuan lama.
Namun saya akui, Coco mempunyai potensi besar untuk berjaya sementelah lagu-lagu seperti Hilang Dalam Buram, Berteman Bintang dan Mengintai Ke Langit selain karya paling mahal dalam album ini, Kaku Terpaku yang cukup attitude pantas menangkap perhatian. |
| |
Artis: Saidatul Erma
Album: Kerna Cinta
Lagu-lagu: Janji Cinta, Cintamu Hilang,
Bersama, Cinta Tak Boleh Begini dan banyak lagi |
|
|
Jujurnya, produk ini merupakan sebuah pengisian penuh rasa melankolik yang berada pada garisan relevan penjualan dari segi pasaran yang agak tipis. Ini kerana melodi mendayu-dayunya biar tidak ketinggalan tempo, tetapi sudah tidak lagi menjadi satu aliran yang digemari khalayak masa kini.
Dan untuk itu, Saidatul Erma serta seluruh warga kerja yang menggarap album ini harus menerima risiko tersebut.
Alunan lagu seperti Janji Cinta dan Kerna Cinta (duet dengan Are Meer Sofaz) membawa kepada Cintamu Hilang juga Bila Putus Cinta telah mengikat halwa telinga pendengar dengan untaian romantis yang maaf kata, susunan melodinya mengingatkan saya kepada zaman pembikinan album-album awal milik Datin Seri Siti Nurhaliza.
Namun, dari segi pembikinannya, Kerna Cinta telah digarap dengan teliti. Barisan penerbit yang terdiri daripada Adnan Abu Hassan, Helen Yap, Azmeer, Sharon Paul, Zulkifli Majid dan beberapa nama besar yang lain ini telah menumpahkan kreativiti mereka dengan cukup baik ke dalam Kerna Cinta.
Namun pengulangan terlalu banyak perkataan cinta pada setiap judul lagunya sedikit mengganggu - seperti tiada perkataan lain yang lebih baik dari cinta.
Ingat bagaimana Elyana boleh menjadi lebih meletup sekarang dengan jalur lagu yang lebih fun, rancak dan trendy berbanding pada zaman melankoliknya? Barangkali transisi tersebut boleh diaplikasi kepada Saidatul kerana dia mempunyai kefahaman vokal yang bagus. |
| |
Artis: Lenny Kravitz
Album: It Is Time For A Love Revolution
Lagu-lagu: Bring It On, Back In Vietnam,
I Want To Go Home, I Love The Rain dan banyak lagi |
|
|
Apabila seorang legenda seperti Lenny Kravitz kembali memanaskan industri muzik tanah air, apa yang akan khalayak terima daripadanya adalah sebuah hasil yang mengujakan.
Lahirnya Time For A Love Revolution dengan keseluruhan hasilnya adalah daripada tangan sendiri, produk ini masih meneruskan legasi muzik Kravitz - rock yang kental, melodi indah dengan lirik yang mengesankan biar ia telah banyak menyentuh hal peribadi dan ketuhanan.
Pastinya, ini kerana kredibilitinya yang hebat sebagai seorang gitaris. Dan petikan gitarnya sahaja sudah cukup membuat khalayak terpengaruh dengan persembahannya.
Jadi, menggarap album dalam kawalan sendiri memperlihatkan sisi hebatnya dalam setiap karya yang dihasilkan.
14 untaian lagu dalam paksi rock berbaur hippie dan santai akan pantas membuat khalayak khayal merupakan resipi bagaimana lagu-lagu lelaki ini berjaya.
Semuanya berada dalam kategori menyedapkan halwa telinga dan mesra radio.
Berbanding Love Revolution yang tidak kurang memikat, saya lebih terpaut dengan A Long And Sad Goodbye. Melodi yang disusun untuk lagu ini begitu kena dengan judul dan jalan ceritanya terutama pada permulaan lagu dengan petikan gitar berbaur blues.
Malah Love, Love, Love dan Will You Marry Me yang pekat aroma Prince juga tidak kalah dengan tarikan tersendiri.
Kepada yang pernah larut dalam keenakan hitnya seperti It Ain’t Over atau Fly Away, apa yang dipersembahkan Kravitz dalam produk terbaru ini akan menjadi sebuah lagi koleksi yang berharga.
Namun kepada yang mencari revolusi dari segi peralihan muzik, tidak banyak yang akan ditemui kerana lelaki ini masih selesa berada dalam landasan yang sama. |
| |
Artis: Padi
Album: Tak Hanya Diam
Lagu-lagu: Sang Penghibur, Terluka,Jangan Datang Malam Ini, Ode dan banyak lagi |
|
|
Muncul dengan album kelima yang masih menyaksikan tradisi Padi membawa judul lagu terdahulu sebagai judul album terkini, Tak Hanya Diam menyambung revolusi kehebatan band yang telah 10 tahun berkecimpung dalam belantara muzik Indonesia.
Masih melihat Piyu setia mencurah idea dan melahirkan karya umpama sungai yang mengalir tenang, Tak Hanya Diam cukup membanggakan dari semua segi - penghasilan lirik, melodi, permainan yang solid dan nilai komersial yang tinggi.
Biar realitinya sesekali terdengar melodi dan corak permainan banyak diaplikasikan daripada muzik rock berat dari Eropah atau Amerika, Padi berjaya mengemudikan haluan mereka dengan baik.
Sang Penghibur yang terletak pada trek pertama sudah cukup melonjakkan adrenalin sebelum Harmony yang didendangkan Piyu sebelum Fadly menambah keharmonian dengan vokalnya yang selalu membikin penggemarnya kecanduan, meredakan situasi dengan alunan lembut muzik.
Elemen rock yang bersatu dengan pop, reggae, jazz mahupun melankolis menambah warna dan kekayaan idea mereka.
Dengarkan Aku Bisa Menjadi Kekasih yang progresif atau menjadi cair dengan aroma Belum Terlambat dan Jangan Datang Malam ini yang tidak berlebihan, tetapi cukup rempah untuk membuatkan anda terpaut dengan hanya sekali dengar.
Secara keseluruhan Tak Hanya Diam, filosofi yang cuba diterjemahkan dalam sebuah produk ini jelas - Padi tak akan pernah diam untuk lahir dengan karya-karya yang tinggi kualiti. |
| |
Artis: Alicia Keys
Album: As I Am
Lagu-lagu: Go Ahead, Lesson Learned,Wreckless Love, Teenage Love Affairs dan banyak lagi |
|
|
Mendengar nama Alicia Keys, yang terbayang di minda adalah kehebatannya sebagai seorang gadis memanupulasi kebolehannya sebagai seorang anak seni dengan baik sehingga mampu meletakkan dia di dalam kelasnya yang tersendiri.
Saat dia muncul dengan Songs In A Minor pada 2001, aliran muzik dunia seakan menjadi miliknya yang menawan dengan kemahiran memetik piano, vokal bersahaja dan persembahan santai tetapi mantap.
Dari album ini juga, Alicia pantas melekat di minda sebagai penyanyi aliran campuran blues dan r&b yang cukup kental.
Kehebatannya disambung menerusi The Diary Of Alicia yang lahir beberapa tahun selepas itu. Hit seperti Karma mengulangi kejayaan single hebatnya, Fallin juga A Woman's Worth dan Alicia masih berada pada posisi selamat.
Dan apabila dia muncul dengan album ketiga yang juga terbaru yang diberi judul As I Am, ekspetasi khalayak adalah cukup tinggi - sekurang-kurangnya ia setanding atau pun lebih hebat daripada dua album terdahulu.
Nyata wanita ini tidak mengecewakan apabila mengarap sebuah produk yang masih mengutamakan kualiti dan menonjolkan kekuatan serta penguasaannya sebagai artis serba boleh.
Maka tidak hairan apabila khalayak mudah terpikat dengan No One, The Thing About Love mahupun kolaborasinya bersama John Mayer, Lesson Learned. Resipi yang diguna pakai Alicia masih sama iaitu menghasilkan lagu-lagu santai dengan melodi yang kemas disalut bersama aroma masa kini yang lebih moderate. |
| |
Artis: Hazami
Album: Nyata
Lagu-lagu: Sempat, Ayuh, Fikir, Restu, Kata Cinta Madah Dusta dan banyak lagi. |
|
|
Muncul dengan album ketiga selepas Kata (album kedua) dan Tekad Redha Tabah (debut) berjaya dengan jalannya sendiri, Hazami mempertaruhkan Nyata. Pada saya, ia sebuah album yang lebih segar dan bersahaja dengan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam melodi rancak.
Dan mahu mencari banyak lagu melankolik, rasanya aroma itu tidak secara total mampu diperoleh dalam album yang diterbitkan bersama oleh Hazami dan Mokhtaza Ahmad ini. Kerana lagu-lagunya digarap seimbang - rancak dan perlahan.
Biarpun ia lebih santai, ini tidak bermakna Nyata kurang mutu.
Sebaliknya prestasi semua tenaga yang terlibat dalam pembikinan album ini masih berada pada lingkaran terbaik. Dan komposisi lagu-lagunya enak.
Ayuh yang membuka tirai trek pertama hasil seni lagu Hazami dan Neol pada lirik merupakan sebuah lagu rancak yang tidak meninggalkan semua elemen yang menyedapkan sesebuah lagu.
Vokal dan persembahan Hazami selari dengan permainan muzik dan melodi pantasnya yang membuatkan khalayak akan turut bergoyang.
Berbanding Tiada Dikau Tiada Daku yang mesejnya dituju khas buat kedua ibu bapa, ia merupakan sebuah lagu perlahan tetapi menang pada permainan muziknya yang cemerlang pada susunan string, cello dan biolanya.
Kata Cinta Madah Berdusta dilahirkan dalam aroma balada Hazami. Lagu hasil Hazami ini sama taraf dengan Mungkir Bahagia dan lagu-lagu perlahannya yang lain. Begitu juga Restu karya Azlan Abu Hassan yang begitu mendamaikan.
Sebuah balada yang menyentuh, terutama pada korus yang diiringi dengan string di bawah pimpinan Eddie Marzuki.
Sementara Fikir yang begitu rancak pula jika kena gaya mampu mengulang kesuksesan lagu Kata.
Saya berhenti menilai untuk memberi laluan kepada anda di luar menikmati Nyata dengan jiwa sendiri.
Kerana kesimpulan yang saya peroleh, Nyata tidak wajar dilepaskan. |
| |
Artis: Anuar Zain
Album: Anuar Zain
Lagu-lagu: Lelaki Ini, I'm The Lucky One, Ketulusan Hati, Jangan Pernah Lagi, Tak Lelah dan banyak lagi |
|
|
Saat dia muncul dengan album yang digarap oleh sentuhan karyawan Indonesia, Anuar Zain menerima pelbagi reaksi - positif dan negatif. Tetapi dia tetap bertahan dengan prinsip yang mahu keluar dari kepompong dan mendapatkan kualiti muzik serta bunyi yang lebih baik dan matang.
Dan secara peribadi, saya berpendapat, Anuar berhak berbuat demikian.
Sementelah dia mengeluarkan wang poket sendiri untuk melahirkan album terbaru yang telah tertangguh lebih empat tahun.
Mendasari produk yang menyaksikan Anuar sendiri sebagai Penerbit Eksekutif dengan sokongan sentuhan dari nama-nama seperti Andi Rianto, Irwan Simanjuntak juga DJ Sumantri, Anuar Zain merupakan sebuah album yang sempurna.
Produksi menjalankan tanggungjawab dengan baik. Mahu mencari kepincangan dari segi bunyi atau susunan muzik juga vokal Anuar jadi kendur atau tanpa mood adalah satu perkara yang tidak akan anda temui dalam album ini. Kerana apa yang dipersembahkan semuanya karya yang berada pada taraf tiga bintang dan ke atas.
Bermula dari I'm The Lucky One membawa kepada Ketulusan Hati karya Numata yang membuat saya terpesona dengan iringan orkestra hasil Oni Krisnerwinto sehingga Lelaki Ini seterusnya Jangan Tidur Lagi yang lebih groovy, semuanya sempurna. Segar dan mendamaikan.
Hanya maaf, perkiraan saya, apa yang boleh dibangkitkan sedikit mengenai perbandingan album ini dengan album-album Anuar terdahulu ialah tidak banyak perbezaan melodi yang dapat memisahkan jurang antara karya Malaysia juga Indonesia.
Ya, dari segi susunan dan permainan muzik, Anuar menang banyak terutama pada penggunaan orkestra yang selalu menambah dua kali ganda mood mendengar sesebuah lagu.
Tetapi dari segi melodi, ia adalah sama seperti karya-karya yang pernah dihasilkan buat Anuar sebelum ini seperti Jangan Bersedih Lagi atau Sesucinya Cintamu.
Tapi mungkin, yang dicari dan menjadi kepentingan Anuar bukan melodi, tetapi kualiti pembikinan sesebuah karya. Jadi soal melodi yang berada pada lingkaran yang hampir serupa hanya satu pertikaian picisan di sini. |
| |
Artis: Haddad Alwi
Album: Jalan Cinta 2
Lagu-lagu: Salam Ramadhan, Dengar Jeritan Kami, Pengakuan, Puasa dan banyak lagi |
|
|
Haddad Alwi tidak memerlukan sesuatu yang bersifat terlalu komersial dan moden untuk meletakkannya sebagai seorang penyanyi. Tetapi cukup mempersembahkan karyanya dalam lingkaran sendiri - jalur rohaniah yang digarap sempurna dengan penuh ikhlas, kasih sayang serta tersusun dalam melodi sebuah lagu yang indah.
Ya, dia pejuang irama nasyid atau lagu-lagu yang mengisi batiniah menjadi tenang dan selalu menghargai kehidupan sebagai seorang Islam. Bersama lahirnya Jalan Cinta 2, Haddad memberikan sebuah produk yang diterbitkan olehnya sendiri bersama sentuhan 'pakar bedah' termasuk Tohpati yang menyusun lagu-lagu dalam album ini, ia pantas memikat hati.
Mengandungi 10 buah lagu, semua khalayak juga sudah boleh tahu kalau ia adalah lagu-lagu memuji Tuhan yang dihasilkan dalam sebuah sentuhan yang tidak berlebihan tetapi tidak juga terlalu membosankan. Sebagai penghibur, Haddad tahu apa yang dimahukan pasaran untuk membuatkan dia terus survive di dalam kelompok muzik masa kini.
Duet bersama Gita Gutawa menerusi lagu yang terdapat pada trek pertama, Salam Ramadan, sudah cukup mencuri perhatian.
Bukan sahaja pada alunan vokal gemersik Gita dan vokal mendayu Haddad, ia juga dipengaruhi permainan perkusi yang kemas dan tersusun. Menghitung Dosa pula menyentuh jiwa dengan liriknya yang membangkitkan soal kekhilafan yang dilakukan. Iramanya senada tanpa klimaks, tetapi liriknya sudah cukup membantu menaikkan graf lagu ini.
Kolaborasi Haddad bersama Tasya mengalunkan Dengar Jeritan Kami adalah sebuah rintihan yang digarap dalam sebuah lagu dengan baik hasil Tohpati.
Pengakuan pula adalah lagu popular Indonesia yang dilahirkan dalam versi baru oleh Haddad. Ia lebih rancak tetapi tidak mencacatkan lagu asal ini, namun secara peribadi saya lebih gemarkan versi lama kerana ia lebih mengesankan.
Mahu tahu selebihnya? Jalan Cinta 2 sudah lama berada di pasaran untuk dimiliki. |
| |
Artis: Ungu
Album: Para Pencari Mu
Lagu-lagu: Sesungguhnya, Surga Hati, Tuhanku, Sembah Sujudku dan Para Pencari Mu |
|
|
Sukses dengan percubaan perdana mereka tahun lalu telah membakar semangat kumpulan Ungu untuk muncul dengan album berbentuk rohaniah kedua pada tahun ini. Dinamakan sebagai Para Pencari Mu, Ungu terus memuja dan memuji serta melahirkan keluh kesah terhadap kehidupan dalam sebuah persembahan yang tidak dihasilkan dalam bentuk rohaniah yang klise.
Berbanding Surgamu, album ini lahir dalam jalur yang lebih pantas dan muziknya kurang mendayu tetapi masih tetap mampu meluluhkan hati pendengar dengan melodi, lirik serta nyanyian penuh ikhlas daripada sang vokalis, Pasha.
Mencari kesempurnaan dalam album ini saya kira bukanlah satu perlakuan yang bijak, sebaliknya apa yang harus dicari adalah makna yang disalurkan dalam setiap lagu-lagu yang mereka hasilkan dalam sebuah album rock yang moden tetapi isi rohaniahnya tetap sampai tepat kepada sasarannya.
Para Pencari Mu hanya mengandungi lima buah lagu dengan lima lagi adalah versi karaoke. Dimulakan dengan Para Pencari Mu pada trek pertama yang dihasilkan dalam jalur pop rock dan pantas, Sesungguhnya juga tidak lari dari warna rock sebelum Sembah Sujudku dihasilkan dalam irama melankolik.
Dalam lima buah lagu, Tuhanku yang terletak di trek kelima agak memikat jiwa saya. Mungkin kerana permainan yang sederhana dan gaya persembahan vokal Pasha yang merayu dan menceritakan kekhilafan dan kekerdilan seorang manusia yang bergantung hidup dengan ciptaan seorang Tuhan yang Esa.
Dan apa yang gemarkan pada lagu ini adalah nyanyian anak-anak kecil yang memuji keagungan Tuhan dengan iringan permainan drum sahaja.
Benar, produk ini bukan dihasilkan dengan kepuasan yang lebih baik daripada sebelumnya, tetapi Ungu telah menyambung revolusi album rohaniahnya dengan sebuah produk ketuhanan yang boleh dibanggakan dalam celahan lambakan album pop seharian. |
| |
Artis: Slank
Album: Slow But Sure
Lagu-lagu: Slalu Begitu, Alon 2x Asal
Klakon, Lapindo, Sejak Kau Benci dan banyak lagi |
|
|
Sejak muncul dengan Suit-Suit....Hehehe (Gadis Sexy)pada tahun 1990, kumpulan asal Jakarta, Slank yang telah menghimpun berjuta Slankers (panggilan buat penggemar kumpulan ini) tidak pernah surut daripada menerima sambutan yang menggalakkan terhadap penjualan album mereka.
Setelah lebih sedekad, Slank muncul dengan album terbaru yang juga tidak mendapat sambutan dingin biar ia dilahirkan dalam versi album studio yang lebih santai.
Melahirkan Slow But Sure dalam versi akustik penuh(kecuali pada gitar bass dan suara orkestra) pada perkiraan saya adalah satu perkara yang bukan tabu dan bukan juga akan mengagalkan Slank dalam usahanya mempertahankan aliran rock yang mereka ada. Sebaliknya ia membuktikan bahawa setiap personal kumpulan ini telah cukup masak untuk menterjemahkan karya mereka dalam sebuah persembahan akustik yang selalunya lebih enak untuk dinikmati kerana kekurangan efek yang banyak
mencantikkan sesebuah persembahan.
Dan kalau ada pendapat yang mengatakan Slank tidak seagrasif dahulu tanpa lagu-lagu rancak atau berat dalam album ini, saya lebih senang melihat ia sebagai satu revolusi dan transisi kematangan sebuah kumpulan yang telah lama wujud dalam belantara muzik. Bermula dengan Slalu Begitu, membawa kepada trek terakhir Lapindo, vokal Kaka yang nyaring dan menggoda selalu membenarkan khalayak terus khayal dalam kebanyakan lagu mereka bersama iringan muzik yang ringkas tetapi cukup mengesankan.
Permainan Bim Bim pada drum bersama Ivanka (bass), Ridho (gitar dan keyboard) serta Abdee (gitar) tidak pernah mengecewakan dengan kecatatan pada setiap instrumen yang dimainkan.
Ada banyak warna muzik dalam album ini. Misalnya Slalu Begitu dan Slow But Sure dilahirkan dalam aliran rock yang cukup nakal termasuk liriknya.
Sementara Lapindo adalah suara kritis Slank yang seperti selalu memperjuang dan mempertahankan banyak hal sosial dikerjakan dalam aroma muzik yang lebih manis berbeza dengan My Scooter Love atau Alon 2X Asal Klakon yang santai berbau irama blues. Lantas apa lagi yang anda mahukan daripada gabungan lelaki-lelaki nakal tetapi cukup berpengaruh hanya dengan sebuah dendangan muzik ini? Selamat berhibur. |
| |
Artis: Dayang Nurfaizah
Album: Dayang 2007
Lagu-lagu:
Khayal, Denganmu, Hilang, Tiba-Tiba, Inginku Miliki dan banyak lagi |
|
|
Menggotakan janjinya, Dayang Nurfaizah muncul dengan album terbaru yang diberi judul Dayang 2007. Warna emas pada kulit album menggambarkan betapa bernilainya produk baru yang digarap bersama orang-orang kepercayaannya - Audi Mok, Nurfatima, Mohariz Yaayub dan ramai lagi.
Menilai produk ini, harus diakui bumbu Dayang 2007 masih kaya aroma R&B dan pop. Tak banyak yang berubah tetapi ia juga masih belum membuat anda jemu dengan persembahan terbaru ini.
Saya mengesan kematangan yang berganda pada vokal dan corak tonasinya yang makin lunak, gemersik dan selalu cocok dengan lagu-lagu karya pencipta-pencipta yang tidak perlu bimbang dan kecewa lagu mereka gagal dibawa dengan baik oleh gadis berusia 26 tahun ini. Setiap satu lagu larut dalam feel tersendiri.
Trek pertama yang menyaksikan Dayang membawa lagu Inggeris lama kegemarannya, You To Me Are Everything dalam versi Melayu iaitu Cerita Cinta Dayang adalah satu transisi yang baik. Melodinya yang menarik bersatu kemas dalam lirik dan gaya penyampaian Dayang yang tampak begitu antusias dengan lagu ini.
Dalam banyak-banyak lagu, saya paling kerap memutar Tiga karya Audi Mok dan lirik dari Nurfatima kerana sukakan susunan muzik dan melodinya selain turun naik vokal Dayang yang membuatkan ia meresap sama rata dalam sebuah karya yang akhirnya digelar sebagai lagu. Versi salsa bagi Ingin Ku Miliki juga menangkap perhatian kerana permainan perkusi Steve Thornton yang membikin anda berdansa sama.
Singkatnya, penggemar Dayang lebih tahu menilai daripada saya tentang isi terbaru ini yang secara ringkas saya sifatkan sebagai segar dan lebih moderate.
Garapan setiap karya kemas, persembahan Dayang juga sepenuh jiwa, karya-karyanya hampir semua merupakan karya terbaik, apa yang anda perlukan lagi untuk memiliki sebuah album? Selamat berhibur. |
| |
Artis: Gigi
Album: Peace, Love N Respect
Lagu-lagu:
Nakal, 11 Januari, Matikan Cintaku, Romansa Yang Hilang dan banyak lagi |
|
|
Masuk tahun ke 13 penubuhan mereka dengan pasang dan surut dunia anak-anak band, Armand Maulana (vocal), Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass), dan Gusti Hendy (drum) yang mesra dikenal sebagai Gigi lahir dengan sebuah produk terbaru. Semestinya Peace, Love N Respect ini lebih hebat dan menangkap perhatian.
Selain ia umpama Gigi kembali kepada asal komersial dalam kredibiliti terbaik mereka, produk ini menjadi enak apabila ia digarap dalam kemasan format akustik (unplugged).
Kepada Gigikita, barangkali beranggapan kalau semua produk termasuk yang terakhir lalu, Next Chapter yang adalah sempurna.
Tetapi bagi penggemar biasa dan saya sendiri, membanding kerja tangan dan kekemasan yang lebih halus, saya angkat album sebagai antara yang paling terbaik dalam karya-karya mereka. Mungkin kerana alunan akustik mereka dapat didengar jelas misalnya petikan gitar yang selalu menjadi nadi lagu, ketukan padat drum, bass yang mengasyikkan ditambah vokal Armand yang tidak pernah gagal menggoda membuatkan semua karya yang masih dihasilkan sendiri Gigi ini enak.
Sekadar menyebut beberapa lagu yang membuatkan album ini harus diangkat sebagai antara yang terbaik termasuklah Nakal yang pada perkiraan sata memang sebuah persembahan yang 'nakal'. Elemen dangdut yang diserapkan dalam lagu hasil bersama Armad, Hendy dan Thomas dan Armand menulis liriknya ini memang cukup menangkap perhatian.
Sementelah ia dibikin dalam versi akustik dan ditambah permainan string, Nakal menjadi lebih mengesankan dalam aroma bersahaja. Matikan Cintaku biar ada unsur melodi Politics dari Colplay tetap menarik terutama penyampaian seluruh grup yang cukup bertenaga.
Sama seperti 11 Januari yang jadi asyik dan romantis dalam lemak vokal Armand bertemankan gesekan biola dan mainan cello. Dan kegemaran saya, Percayalah yang dari mula sehingga habis walau liriknya masih soal keluhan hati, tetapi permainan dan persembahan mereka membawa energi ceria menjadikan ia setara - antara lirik dan melodi jadi bersatu. |
| |
Artis: Ahli Fiqir
Album: RAP Untuk Rakyat
Lagu-lagu: Kawan, 2x5, Dia Datang, Kelentong, Tiada Yang Kekal dan banyak lagi |
|
|
Ahli Fiqir belum lagi surut kreativiti. Biar aliran susunan muziknya masih seperti album sebelum ini, RAP Untuk Rakyat lahir dalam aroma yang lebih segar. Bersalutkan imej hip hop, kumpulan yang cukup berbakat ini menyalurkan mesej positif, yang kebanyakannya merupakan sindiran buat khalayak dengan penuh bergaya.
Kredibiliti ini yang membuatkan Ahli Fiqir menang dari segi penyampaian dan kreativiti berbanding kumpulan lain.
Mereka tidak lahir dengan sebuah lagu yang kosong umpama tin kosong. Sedang hit dengan 2x5, saya lebih terkesan dengan senandung Kelentong mereka yang dibikin bersama-sama dengan Uno. Sebuah lagu yang cukup panjang tetapi 'larian' mesej dalam setiap perenggan dengan susunan muzik yang segar membuatkan ia begitu menangkap perhatian.
Dan sebenarnya hampir kesemua karya mereka seperti Selamat Datang Ke Industri Hiburan dan Beruk begitu sinis dan tajam sindirannya dengan frasa-frasa 'membunuh' yang mampu membuat orang berfikir bahawa mereka bukan setakat mahu menyanyi tetapi menjadi suara minoriti menyuarakan pelbagai keresahan dalam sebuah melodi.
Pertembungan hip hop dan tradisi bukan sesuatu yang asing bagi mereka. Justeru apabila ada juga diselitkan irama seperti Dia Datang, ia bukannya sesuatu yang pelik, malah merupakan satu trade mark buat mereka.
Secara keseluruhan RAP Untuk Rakyat jika dilahirkan dengan persepsi yang pelbagai dalam corak seni sebuah lagu, ia sangat berjaya.
Untuk sebuah muzik juga ia berjaya kerana mesra telinga dan begitu menangkap perhatian. Lalu apa lagi yang boleh saya katakan? |
| |
Artis: The Fabulous Cats
Album: Fantastik
Lagu-lagu: Fantastik, Pengganti Airmata, Rimas, Terpesona, Bila Bila Katakan dan banyak lagi |
|
|
Apabila Cat Farish keluar dari Ruffedge, dia tidak duduk diam. Dengan kreativiti yang banyak dalam minda, dia curahkan sedikit kepada teman-teman penyanyi yang lain, sebelum sebahagian yang baik dia gunakan untuk projek grup sendiri - The Fabulous Cat.
Dan semestinya mengenali jejaka hati waja ini, jalur muziknya sentiasa berpaksi kepada hip hop, tetapi ia disuai padan dengan lirik kemelayuan yang terserlah.
Sekali gus menjadikan karya-karya Cat unik dan mesra telinga. Berbekalkan debut yang dinamakan Fantastik, percubaan Cat bersama grupnya saya kategorikan sebagai berjaya. Jika tidak masakan beberapa lagunya kerap diputar di radio walaupun lagu Papa telah menimbulkan perdebatan yang hebat. Pada saya, secara peribadi, papa jahat tidak lucah, tidak juga negatif berbanding banyak lirik lagu barat, tetapi bagaimana seseorang individu itu memberi intepretasi terhadap subjek yang mereka terima.
Mudah, akal waras selalu menjurus kepada hal positif.
Berbalik kepada produk ini, Cat harus akur bahawa produksi mereka berada pada tahap biasa. Pembikinan karya mereka masih punya kekurangan, terutama dari segi rakaman lagu yang masih kedengaran ada kekosongan di sana sini. Tetapi dari segi kreativiti, The Fabolous Cats harus dipuji. Seperti mana saya suka mendengar aroma Papa dan Fantastik yang membuat tubuh seperti ingin berdansa ringan, Macam Itu Ini dan Rimas juga mempunyai sentuhan serupa.
Sementara Pengganti Airmata yang menceritakan tentang kematian begitu menarik perhatian dengan susunan muzik yang bertemankan seksefon dan perkusi minimal .
Antaranya selain soal lirik, mereka masing-masing menonjolkan kemampuan vokal yang baik, lambang sebuah kumpulan vokal harmoni. Untuk sekadar berhibur, produk ini harus dimiliki kerana anda akan temui keceriaan dunia hiburan. |
| |
Artis: Irwansyah & Acha Septriasa
Album: Love Is Cinta
Lagu-lagu: Ada Cinta, Kau Yang Sempurna, Jatuh Hati, Cinta, Tersenyumlah, Bebas dan banyak lagi |
|
|
Tidak keterlaluan untuk mengatakan kalau Acha dan Irwan bernasib baik kerana telah menerima sentuhan sakti Melly Goeslow dan suaminya Anto Hoed melalui debut mereka, Heart. Untaian lagu-lagu indah dilengkapi melodi yang menangkap jiwa. Sedang realitinya, vokal Irwan lemah, begitu juga Acha yang mempunyai vokal pada tahap biasa.
Namun kerana sentuhan dan kepakaran Melly bersama Anto, kecatatan mereka tertutup.
Lantas apabila album kedua yang juga merupakan album runut bunyi filem Love Is Cinta dengan sentuhan komposer lain iaitu Dian HP, baru kekurangan mereka berdua lebih terserlah. Sejujurnya, ia bukan salah Dian. Karya-karya yang dihasilkannya indah dan menepati selera pendengar masa kini. Namun secara peribadi, saya melihat aliran lagu rancak ciptaan Dian kurang menangkap perhatian.
Ada Cinta yang menjadi single pertama pasangan ini cukup indah dan sempurna sebagai sebuah lagu melankolik dengan lirik puitis dan permainan akustik gitar juga string yang melengkapkan album ini. Begitu juga dengan Mencintai Cinta yang dicipta dengan resipi yang sama. Itu, komentar untuk dua lagu pertama dalam album ini.
Malangnya, masuk trek ketiga dengan kebanyakan lagu-lagu rancak berbaur rock, ia cukup mengecewakan.
Bunyi muzik yang kedengaran kosong dan vokal Irwan yang sedaya upaya membawa lagu rock terutama dalam lagu Kau Yang Sempurna kedengaran pecah dan sumbang.
Ia juga terkesan seperti letih dan terlalu berusaha memberi yang terbaik sedangkan tahapnya tidak berada di situ. Cinta yang terletak di trek ke lapan berjaya menyelamatkan album ini selepas Nyanyian Senja, Bebas dan Tersenyumlah terdengar sangat biasa dan berjaya menerbitkan kebosanan untuk tidak mendengar album ini sehingga tamat trek ke 14. |
| |
|
|
|
|
|
|