Home > #PenaHot > “Cantik & Personaliti TV Bukan Tiket Untuk Harumkan Nama Malaysia” – Hasnida Hanim

“Cantik & Personaliti TV Bukan Tiket Untuk Harumkan Nama Malaysia” – Hasnida Hanim

Sering diperkata memiliki rupa paras yang menawan serta wajah yang sentiasa menghiasi kaca televisyen mungkin menyebabkan wanita ini berpeluang untuk menyertai Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017.

Namun, bagi wartawan penyiaran serta pembaca berita Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Hasnida Hanim Ahmad Kamil, 37, ianya sedikit pun tidak menjejaskan semangatnya untuk meneruskan misi, sebaliknya menganggap ianya sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuannya.

“Sebelum ini saya berkayak hanya sekadar suka-suka di tepi tasik. Tapi, setelah dimaklumkan Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) bahawa mereka sedang membuat pemilihan, saya ingin mengambil peluang tersebut sebagai cabaran untuk diri saya.”

“Bukan mudah untuk dipilih. Saya juga harus menghadiri latihan setiap hari termasuk hujung minggu untuk diuji tahap kecergasan.”

Mengakui perlu membahagikan masa antara kerja dan keluarga, anak sulung daripada tujuh beradik ini mendedahkan dia turut diuji dengan memanjat Batu Caves bersama 24 kilogram bebanan berbentuk 20 botol air mineral sebagai persediaan mental dan fizikal.

Mengulas lanjut, Hanim dan enam peserta lain termasuk Ahmad Iqbal Khairi Ismail, Rosliza Saad, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Izwan Md Sumairi, Shamsudduha Junaidi dan Mohd Hanif sudah menjalani latihan selama lebih empat bulan sebagai persediaan menyertai ekspedisi berkenaan.

Dalam pada itu, seorang peserta paling muda Ahmad Iqbal Khairi Ismail, 22, berkata, cabaran paling hebat bakal ditempuhi adalah cuaca ekstrem.

“Jika di Malaysia kita biasa dengan cuaca panas dan lembap tetapi di sana cuaca panas dan kering pada siang hari manakala malam terlalu sejuk. Tapi Insya-Allah, berbekalkan semangat kental kami akan berjaya nanti.” katanya.

Tujuh wakil Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) semalam telah berlepas ke Mesir bagi menyertai Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 sejauh 250 kilometer dari Aswan ke Luxor, mulai 8 hingga 19 November ini.

Apa-apa pun, Hot FM ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta dan semoga mereka pulang dengan kejayaan.

Kongsi laman ini di:

Leave a Reply