Akhirnya segala teka-teki tentang perhubungan pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa dan Pencetus Ummah, Muhamad Haris bin Mohd Ismail (PU Riz) terjawab apabila beliau menerima kunjungan merisik dari pihak PU Riz sekeluarga.
Apa yang mengukuhkan lagi perkara itu, ibu Neelofa, Noor Kartini turut memuat naik foto bersama mereka berdua di laman sosial Instagramnya dengan luahan rasa syukur berserta kapsyen menyentuh hati.
“Bismillahhirohmanirohim, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. syukur ku padamu Ya Rabb .. saat yang ku tunggu2 dah pun tiba, kau hadirkan insan istimewa yg bakal membimbing bidadari kesayangan ku..”
“aku yakin dgn ketentuanmu, yang mana insan ini dapat membahagiakannya, dapat menyerikan dan melengkapi hidupnya,yang akan menyokong setiap apa saja urusan nya.. “
“Ya Allah jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewamu disyurga mu nanti .. amiinn @neelofa ku sayang, jantung hatiku, intan permataku,setiap detik dan setiap saat mama mendoakan yang terbaik untuk mu sayang .. mama love you very much”
Alhamdulillah. Meninjau di ruangan Instagram (IG) Story Neelofa, beliau nampaknya turut berkongsi detik-detik kunjungan pihak PU Riz sekeluarga yang serba sederhana dan hanya dihadiri keluarga terdekat kira-kira 20 orang tetamu.

Sumber memberitahu majlis merisik itu berlangsung di kediaman ibu bapa Neelofa di Petaling Jaya, di mana jumlah tetamu dihadkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Difahamkan, keluarga kedua-dua belah pihak juga turut berbincang mengenai perancangan perkahwinan mereka dan menyerahkan kepada Neelofa dan PU Riz untuk menentukan jumlah hantaran.


Malah mereka juga turut menunaikan solat Asar terlebih dahulu yang diimamkan oleh PU Riz sebelum majlis merisik dijalankan.

Pasangan romantis ini juga dikatakan bakal diijab kabul pada Mac depan.
Sekarang kita hanya perlu menunggu kenyataan rasmi daripada tuan empunya badan yang kini berdarah manis!
Semoga segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar, Amin.