Home > #PenaHot > Sheila On 7 Kembali Gegar KL Dengan Lagu Baru!

Sheila On 7 Kembali Gegar KL Dengan Lagu Baru!

Kumpulan lagenda popular Indonesia Sheila On 7 bakal muncul kembali dalam sebuah konsert yang akan berlangsung di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, pada 10 Februari depan.

Menerusi sidang media yang diadakan petang tadi, mereka memaklumkan bahawa peminat di negara ini bakal menjadi antara orang pertama yang akan mendengar single terbaharu daripada kumpulan terkenal Indonesia itu.

Pemain gitar kumpulan tersebut, Eross Candra, berkata lagu berjudul Film Favorit itu adalah single pertama mereka setelah kali terakhir muncul dengan album penuh sekitar empat tahun lalu.

Lagu itu sangat bererti buat kami kerana liriknya mengajak pendengar untuk bersikap positif. Kalau kita lihat, remaja sekarang tidak kental jiwanya dan mudah mengalah. Justeru, lagu ini mengajak golongan berkenaan supaya mencuba terlebih dahulu sebelum berputus asa.

Turut hadir, pemain base kumpulan itu, Adam Muhammad Subarkah dan Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim.

Vokalis kumpulan yang terkenal dengan lagu Sephia itu, Duta atau Akhdiyat Duta Modjo dan seorang lagi anggotanya, Brian Kresna Putro (drum), tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen lain.

Mengulas persembahan pada konsert itu nanti, Eross menjelaskan mereka juga akan membuat kepelbagaian dalam pemilihan lagu.

Sebelum ini, setiap kali kami mengadakan persembahan, ramai yang akan bertanya mengapa kami tidak menyanyikan lagu itu atau lagu ini. Tidak mahu menghampakan mereka, selain yang popular, kami juga akan menyanyikan lagu yang jarang disampaikan sebelum ini.

Konsert tersebut turut akan menyaksikan kumpulan berkenaan mendendangkan 20 lagu, antaranya Dan, Seberapa Pantas dan Melompat Lebih Tinggi.

Kongsi laman ini di:

Leave a Reply