Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi amat menghormati keputusan para isteri yang sudi berkongsi kasih suami dengan memilih untuk hidup bermadu, namun tidak dirinya.

“Saya takkan rela berkongsi kasih dengan wanita lain. Tapi, saya sangat hormat pada wanita yang dapat melakukannya (hidup bermadu).
“Saya sedar dunia ini tidak akan kekal, tetapi saya mahu mempertahankannya hingga akhir nyawa,” katanya.

Penghujung tahun lalu, timbul desas desus mengatakan suami Mia yang juga penjaga gol Johor Darul Takzim Mohd Izham Tarmizi Roslan ‘curang’ bersama wanita lain.

Lebih menyedihkan, ia ketika Mia dalam proses berpantang melahirkan anak sulung mereka Sayf Issa yang kini berusia enam bulan.

Bagaimanapun, Mia memilih untuk memaafkan kekhilafan suaminya itu dan membina kehidupan yang baharu.

“Kehadiran Sayf menguatkan lagi rumah tangga kami. Pada masa kini, kami masih pada fasa mengenali antara satu sama lain,” ujar Mia lagi.

Setiap perkahwinan pasti akan ada ujian. Semoga masalah rumah tangga Mia Ahmad dan suami kembali jernih dan bahagia.